KERAJAAN memberi jaminan bahawa pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar akan dilakukan dengan kaedah mesra pengguna, termasuk di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak yang menghadapi cabaran infrastruktur digital.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), MyKad bakal digunakan sebagai rujukan utama dalam menentukan kelayakan penerima subsidi, berdasarkan status kewarganegaraan, pemilikan kenderaan, serta lokaliti pengguna yang masih dalam penelitian kerajaan.
“Kaedah ini telah diuji dalam projek perintis di Putrajaya dan Klang pada 2022, di mana pengguna yang layak dapat membeli petrol bersubsidi menggunakan MyKad dan e-dompet.
“Hasil projek ini membuktikan keberkesanan teknologi MyKad dalam penyasaran subsidi bahan api,” kata MoF ketika menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) menerusi jawapan bertulis di parlimen.
Menjelas lanjut, MoF berkata kejayaan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sejak 2024—di mana bantuan disalurkan melalui MyKad kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar—turut mengukuhkan kebolehpercayaan sistem ini.
Menurut MoF, penyasaran subsidi RON95 perlu dilaksanakan disebabkan perbezaan harga yang besar yang menyebabkan ketirisan dalam subsidi petrol dan ia telah digunakan oleh kumpulan yang tidak sepatutnya.
“Peralihan daripada pemberian subsidi pukal dengan harga runcit bersubsidi untuk semua pengguna tanpa had kepada penyasaran subsidi memerlukan penentuan kaedah bantuan yang bersesuaian untuk digunapakai,”katanya. – WILAYAHKU