PELAKSANAAN subsidi bersasar RON95 akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif ini dapat berjalan dengan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata buat masa ini kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95.
“Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan juga akan diadakan bagi memastikan setiap aspek diambil kira, termasuk garis masa pelaksanaan serta mekanisme yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin (PN-Pagoh) di parlimen pada Khamis.
Menurut Rafizi, kerajaan telah memperuntukkan RM58.1 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk membiayai pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada rakyat, selaras dengan usaha memastikan kesejahteraan masyarakat dan kestabilan ekonomi.
“Sejak tahun 2015 hingga 2023, jumlah subsidi dan bantuan sosial yang ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM294.5 bilion, yang merangkumi 10.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan dalam tempoh tersebut,” katanya.
Jelas beliau, bagi memastikan pemberian bantuan yang lebih berkesan serta memperbaiki kedudukan fiskal negara, Kerajaan telah mengenal pasti penyasaran semula subsidi sebagai inisiatif penting.
“Rasionalisasi subsidi ini merupakan salah satu daripada 17 anjakan besar dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
“Inisiatif penyasaran subsidi bahan api telah dimulakan dengan subsidi diesel pada 10 Jun 2024. Langkah ini dijangka dapat memperkukuh kedudukan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan akibat aktiviti penyeludupan,” katanya.
Kata Rafizi, pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 turut dijangka mengurangkan impak kepada kos sara hidup rakyat.
“Melalui pendekatan ini, penyasaran subsidi diesel dijangka menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion kepada Kerajaan yang akan memberi ruang fiskal yang lebih luas untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
“Selain itu, kerajaan sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95, namun tumpuan buat masa ini diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga ia menjadi stabil.
Rafizi berkata pengagihan bantuan sosial sedang dikaji bagi memastikan rakyat, khususnya penerima bantuan tidak terlalu terbeban dengan jangkaan kenaikan harga barangan apabila Kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi.
“Kerajaan berjanji bahawa sebarang keputusan yang diambil akan disampaikan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perancangan dasar yang dilaksanakan,” katanya.
Ujar rafizi, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan mempergiatkan usaha untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas.
“Pelaksanaan pelbagai inisiatif ini diharap dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kuasa beli rakyat.
”
Kerjasama dan sokongan semua pihak, terutama rakyat, adalah sangat penting bagi memastikan keberhasilan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api serta meningkatkan kebajikan rakyat,” katanya.-WILAYAHKU