Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Suasana desa sempena PPD 2024 pikat pelancong

- Diterbit 28 Jun 2024 11:30 AM MYT

PUTRAJAYA Park’s Day (PPD) 2024 yang diadakan buat kali ketiga berjaya menarik kira-kira 12,000 pengunjung sekali gus melepasi sasaran yang diletakkan oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) iaitu seramai 10,000 orang.

Dengan bertemakan Mengimbau Zaman Dulu-Dulu pengunjung berpeluang merasai pengalaman melakukan aktiviti bertepatan dengan tema yang ditonjolkan seperti menangkap belut di bendang, menanam pokok padi, demo menoreh dan memproses getah, pertandingan mengail tradisional menggunakan joran bulu, mengacau dodol dan permainan tradisional antaranya congkak, batu seremban, sepak raga, gasing, sepak bulu ayam dan banyak lagi.

Menurut Naib Presiden (Jabatan Landskap dan Taman) PPj, LAr. Haslinda Khalid, program tersebut merupakan salah satu pengisian yang disenaraikan di dalam Kalendar Acara PPj.

“Acara yang dianjurkan berjaya menarik perhatian pelancong domestik dan antarabangsa. Demonstrasi dan aktiviti yang disediakan juga menepati tema acara PPD 2024 sekali gus mencetuskan kemeriahan dan kenangan mengimbau zaman dulu-dulu yang amat disukai pengunjung terutamanya golongan kanak-kanak.

“Bufet buah-buahan tempatan seperti rambutan, langsat, manggis, mata kucing dan banyak lagi turut mendapat sambutan yang hebat daripada pengunjung. Di dalam taman ini mempunyai pelbagai jenis pokok buah-buahan jadi kita tawarkan buah yang kita tanam untuk mereka rasa dengan harga serendah RM10 buat dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak,” katanya kepada Wilayahku.

Haslinda berkata melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima membuktikan objektif PPD 2024 tercapai di mana Taman Warisan Pertanian Putrajaya yang merupakan lokasi program berjaya dipromosikan sebagai taman yang berkonsepkan warisan tradisional Melayu serta sebagai pusat pendidikan, rekreasi dan pusat jualan sehenti produk agro pertanian.

“Taman Warisan Pertanian merupakan salah satu taman yang wajib dikunjungi kerana ia dibangunkan bagi memelihara warisan dan pertanian Malaysia dengan menawarkan keunikan dusun dalam bandar yang berkonsepkan Agro Tourism.

“Pengunjung boleh melawat taman ini pada hari biasa di mana kita mengenakan sedikit bayaran untuk masuk dan mereka boleh melakukan aktiviti brisk walk sambil melihat tanaman yang ditanam. Kita juga ada sawah untuk memperlihatkan penanaman padi kepada pengunjung khususnya kanak-kanak dan pelancong luar,” ujarnya.

Tambahnya, program yang berlangsung selama dua hari pada 22 hingga 23 Jun 2024 itu bertujuan untuk mempromosikan keunikan dan kepelbagaian 12 buah taman awam yang terdapat di Putrajaya yang menjadikannya sebagai tarikan pelancongan.

“Kebanyakan pengunjung sangat berpuas hati dengan aktiviti, demonstrasi, pertandingan serta kemudahan yang disediakan sepanjang program berlangsung dan mereka mahu agar program seperti ini diteruskan kerana ia amat menarik dari segi pendedahan pembelajaran, adat resam seni budaya, makanan unik kampung, permainan tradisional dan lain-lain kenangan yang kian dilupakan oleh generasi bandar yang telah ditelan arus pemodenan.

“Selain keluarga dan pelancong luar, kita juga menerima rombongan sekolah rendah semasa program di mana mereka bepeluang merasai sendiri pengalaman menangkap belut dan ikan. Pastinya ia pengalaman yang menarik buat anak-anak ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Haslinda berkata pihaknya akan menambah baik kemudahan infrastruktur khususnya memberi keutamaan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung dan kanak-kanak terutamanya perkhidmatan buggy yang selesa.

“Pada masa akan datang, kita juga akan melibatkan lebih ramai penyertaan rakan strategik dan sekolah-sekolah di sekitar Putrajaya serta memperbanyakkan aktiviti yang menarik sesuai dan mencabar dengan penglibatan pelbagai lapisan umur juga akan diketengahkan.

“Semoga dengan program ini akan membuatkan taman-taman awam di Putrajaya menjadi tumpuan utama bagi warga kota di Putrajaya dan Lembah Klang bagi aktiviti sukan dan rekreasi santai di samping dapat berkongsi keunikan keseluruhan 12 taman metropolitan di Pusat Pentadbiran Kerajaan yang unik dengan tema dan karakter tersendiri seterusnya dapat dihargai dari satu generasi ke generasi yang akan datang.

“Nantikan Putrajaya Park’s Day tahun 2025 di taman awam Putrajaya dengan konsep dan tema baharu lebih menarik dan berinformasi yang pastinya akan menggamit kemeriahan dan kesejahteraan warga kota,” ujarnya.

Terdahulu, PPD 2024 telah dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Taman Warisan Pertanian, Presint 16, Putrajaya pada Sabtu. Turut hadir Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud; Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlee Yatim dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Selangor, Aiada Abdul Rashid.

Bagi penganjuran kali ini, PPj turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik iaitu FAMA, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Red Adventure Sdn Bhd dan Koperasi Perbadanan Putrajaya Berhad (PutraKop). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas