Berita

Suami Kiah Propa meninggal dunia

- Diterbit 1 April 2025 1:00 PM MYT

SELEPAS empat bulan berjuang melawan kanser leher, suami kepada pelakon Kiah Propa, Mohamad Nazri Ismail, akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira jam 6 pagi tadi di Institut Kanser Negara (IKN).

Berita duka itu dikongsikan Kiah atau nama sebenarnya Siti Rokhaida Abdul Khalil, 46, menerusi akaun instagramnya pagi tadi.

“Assalamualaikum, suami saya baru menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 6 pagi tadi di IKN.

“Insyallah jenazah akan disimpan di Saujana Utama, Selangor.

“Saya mohon semua yang menonton video ini dapat mendoakan agar rohnya tenang dan semoga dicucuri rahmat,” katanya.

Allahyarham didiagnos kanser leher dan kelenjar air liur tahap empat, tahun lalu dan selepas itu sel barah dikatakan merebak ke organ lain.

Kisah pasangan ini menjadi perhatian ramai selepas Kiah terbuka hati untuk bernikah kembali dengan bekas suaminya selepas lapan tahun bercerai.

Mereka bernikah pada 16 November lalu
kerana niat Kiah untuk menjaga Mohamad Nazri yang sakit.

Sebelum ini, Kiah dan Nazri pernah mendirikan rumah tangga pada 2011, namun berpisah selepas beberapa tahun bernikah.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan berusia 9 dan 13 tahun -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas