SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pasangan suami isteri kerana disyaki terlibat dalam tuntutan palsu kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membabitkan pembekalan minyak diesel berjumlah lebih RM650,000.
Menurut sumber, pasangan suami isteri berusia lingkungan 50 hingga 60-an yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Pengarah Eksekutif di sebuah syarikat swasta ini dipercayai telah membuat kira-kira 15 tuntutan palsu daripada SESB.
“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai membuat kira-kira 15 tuntutan palsu sekitar 2013 membabitkan kontrak pembekalan minyak diesel bagi kegunaan set janakuasa elektrik yang diperoleh oleh syarikat tempat mereka bekerja.
“Namun pembekalan minyak berkenaan yang sebenar tidak sama seperti dalam tuntutan dibuat,” katanya.
Sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan sekitar pukul 10.55 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada Khamis ini bagi proses pertuduhan serta mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak terlibat dengan kegiatan pemalsuan dokumen berikutan ia merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – WILAYAHKU