Agama

Stres mampu dorong seseorang hilang pedoman, rapuh iman hati sempit

ALLAH SWT tidak akan membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung. - Gambar hiasan
- Diterbit 9 Ogos 2024 5:00 PM MYT

KEMURUNGAN adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

Penyakit mental boleh dibahagikan kepada tiga iaitu pertama ialah neurosis, lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan akal, contohnya ialah kemurungan dan kebimbangan.

Kedua ialah psikosis, lazimnya mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku serta kewarasan juga terjejas.

Pesakit akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi atau dikenali halusinasi. Pesakit juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi dan menyebabkan reaksi melampau atau dikenali delusi.

Ketiga ialah kecelaruan personaliti, lazimnya kecelaruan ini menyebabkan seseorang mengalami kecacatan perwatakan. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekeliling.

Pendakwah bebas, Shahrin Abd Rahman berkata dalam konteks Islam, punca berlaku tekanan bukan hanya daripada tekanan mental semata-mata, bahkan boleh berlaku disebabkan kecelaruan dan kelemahan hati.

Menurut Shahrin, kelemahan hati yang menyebabkan rapuhnya hubungan manusia dengan Allah SWT menjadikan kehidupannya menjadi sempit, sukar dan seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap masalah hidup.

“Terkadang dengan sebab tekanan hidup yang melampau dan stres menyebabkan seseorang hilang punca dalam melayari kehidupan. Mereka merasakan dengan jalan pintas membunuh diri akan menjadi penyelesaian dalam menempuh kemelut kehidupan.

“Sedangkan di sana bala dan dosa yang besar menanti, kerana para ulama bersepakat menyebut bahawa membunuh diri hukumnya haram.

“Dalam Islam bukan membunuh diri sahaja haram tetapi bercita-cita untuk mati kerana bala yang dihadapi juga tidak dibenarkan,” katanya kepada Wilayahku.

Shahrin menegaskan kaedah rawatan untuk masalah kemurungan sebenarnya adalah banyak dan memberi kesan yang sangat efektif.

“Paling penting ialah solat fardu dan solat-solat sunat adalah kaedah rawatan Islam yang turut berkesan untuk mengurangkan kemurungan.

“Bagi setiap individu Islam, solat fardu lima waktu sehari semalam itu wajib ditunai. la sebenarnya sudah menjadi penawar kepada keresahan atau kemurungan yang dialami setiap hari. Satu kajian yang melibatkan 30 orang lelaki Islam mendapati aktiviti solat boleh menggalakkan kesantaian, mengurangkan keresahan dan mengurangkan risiko terhadap penyakit kardiovaskular.

“Kedua ialah dengan membaca Al-Quran sebagai salah satu terapi yang baik untuk mengurangkan kemurungan atau depresi yang dialami.

“Firman Allah SWT: “Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Al-Isra’: 82).

“Al-Quran merupakan kurniaan istimewa Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya sebagai pedoman hidup yang lengkap bagi menjamin keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Sesungguhnya terkandung di dalamnya penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

“Terdapat kajian umum mengenai kesan positif bacaan Al-Quran terhadap kesihatan mental. Sebagai contoh, satu kajian sistematik mendapati bahawa mendengar, membaca atau menghafaz Al-Quran dapat mengurangkan tekanan, kemurungan dan kegelisahan serta meningkatkan kualiti hidup umat Islam. Jiwanya merasa bahagia dan tenang setelah mendengar lantunan ayat-ayat suci Al-Quran,” katanya.

Malah Shahrin menyatakan kaedah rawatan Islam yang seterusnya adalah mengingatkan pesakit kepada Allah, percaya kepada Allah dan memohon keampunan kepada-Nya atas semua kesilapan lalu (bertaubat).

“Kaedah ini didapati berkesan untuk mengurangkan keresahan dan kemurungan yang dialami oleh pesakit. Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada kecil mahupun besar. Yang penting menjadi kewajipan kepada setiap kita untuk sentiasa bertaubat memohon ampun daripada Allah yang Maha Pengampun,” ujarnya.

Shahrin berkata segala permasalahan yang dihadapi perlu diselesaikan dengan pendekatan yang berlandaskan syarak.

“Yakinlah bahawa setiap masalah yang timbul, pasti ada solusinya dan Allah SWT sentiasa membantu.

“Allah SWT tidak akan membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung kerana kasih terhadap setiap hamba-Nya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas