BAYARAN maksimum isi rumah bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 Fasa 1 yang mula disalurkan hari ini ditingkatkan lebih daripada lebih daripada 66 peratus kepada RM500, ketimbang RM300 pada tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berharap peningkatan itu dapat membantu rakyat yang mengalami kesulitan dengan kenaikan harga barang.
“Saya akur bahawa kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.
“Hatta, saya berharap peningkatan bayaran yang ketara ini dapat meringankan beban kalian,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI beriltizam untuk memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah.
“Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi MADANI.
“Saya berharap penerima-penerima STR Fasa 1 ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan ini,” ujarnya.
Baru-baru ini media melaporkan, Kementerian Kewangan mengumumkan pembayaran STR Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima, yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Menurut MOF, kerajaan menaikkan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah, berbanding bayaran maksimum RM300 pada tahun lepas, bagi membantu sebilangan besar rakyat menangani kesan peningkatan kos sara hidup.
Kementerian itu memberitahu penerima daripada kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500 melalui pembayaran STR fasa satu, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300. – WILAYAHKU