KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merangka langkah khusus untuk mewujudkan stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Ia susulan gangguan bekalan gula bertapis pada masa tertentu seperti gangguan serius yang berlaku pada Ogos hingga Oktober 2023, yang turut disebabkan faktor logistik.
Penghantaran bekalan melalui perkapalan dari Semenanjung Malaysia memerlukan masa lima hari ke
Sarawak dan tujuh hari ke Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata syor itu telah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 26 Mac lalu.
“Susulan keputusan itu, KPDN akan mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada kedua-dua syarikat pengilang di Semenanjung Malaysia iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd.
“Jumlah stok penimbal yang ditetapkan adalah pada kadar 1,000 metrik tan (1 juta kilogram untuk keperluan di Sabah dan Labuan serta 1,000 metrik tan untuk keperluan di Sarawak secara berperingkat bermula 1 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain penyediaan stok penimbal, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan tambahan untuk subsidi pengangkutan perkapalan bagi penghantaran bekalan gula putih bertapis ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Peruntukan yang disediakan kini adalah sebanyak RM38 juta setahun, berbanding RM19 juta setahun sebelum ini iaitu peningkatan daripada 10 sen kepada 20 sen bagi setiap kilogram.
Selain itu, katanya lagi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu juga bersetuju untuk KPDN menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Bekalan dan Harga.
“Jawatankuasa ini akan dianggotai kementerian, jabatan, agensi serta pemain-pemain industri berkaitan yang akan bersidang sekurangnya enam kali setahun.
“KPDN berharap usaha bersepadu ini akan terus berupaya menangani isu-isu berkaitan kos sara hidup, kestabilan bekalan dan harga secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.-WILAYAHKU