KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan bahawa stok beras negara setakat 31 Disember 2024 berjumlah 917,937 tan metrik termasuk stok penimbal sebanyak 200,000 tan metrik dan stok dagangan 717,937 tan metrik.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata jumlah ini mampu menampung 4.59 bulan keperluan negara, sekali gus memastikan bekalan beras kekal mencukupi, terutama dalam menghadapi sebarang gangguan bekalan atau keadaan kecemasan.
“Stok penimbal atau stockpile beras bertujuan untuk memastikan bekalan beras negara sentiasa stabil sekiranya berlaku bencana alam, kemerosotan pengeluaran tempatan atau krisis di negara pengeksport,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun),yang meminta penjelasan mengenai jumlah stok beras negara serta kemungkinan menjadikan beras putih tempatan sebagai stok penimbal.
Menurut Mohamad, stok penimbal beras negara pada masa ini hanya terdiri daripada beras putih import, yang dikendalikan oleh Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melalui Perjanjian Konsesi yang berkuat kuasa hingga 10 Januari 2031.
Katanya, buat masa ini, kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan beras putih tempatan sebagai stok penimbal dan keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan untuk memastikan kestabilan bekalan serta kepelbagaian sumber import, terutamanya ketika berlaku sebarang krisis pengeluaran dalam negara.
“Melalui mekanisme ini, kita dapat memastikan terdapat bekalan mencukupi sekiranya berlaku sebarang gangguan dalam pengeluaran beras tempatan,” tambahnya.-WILAYAHKU