MEMIKUL tanggungjawab untuk terus mengangkat seni tari Malaysia, Stephy Dance Group (SDG) menjalinkan kerjasama strategik dengan VIBES International Agency (VIBES).
Pengasas SDG, Datuk Stephanie Low berkata menerusi perjanjian itu pelbagai usaha dapat dilakukan termasuk mempromosikan tarian di negara ini ke mata dunia.

Beliau berkata, tidak mustahil untuk mencipta fenomena seni tari Malaysia Pop seperti K-Pop jika semua pihak bekerjasama dan membantu mengetengahkan pelbagai tarian yang ada di negara ini.
“Saya percaya seni tari dari pelbagai kaum di negara ini boleh membentuk satu budaya tarian yang menarik dan menjadi ikutan di peringkat antarabangsa.
“Tidak mustahil kerana kita mempunyai pelbagai jenis tarian daripada pelbagai kaum yang mempunyai keunikan masing-masing dan pastinya menarik apabila digabungkan,” katanya ketika ditemui pada majlis TikTok Meet Up Night anjuran VIBES baru-baru ini.

Low yang yang juga pemilik Centre Stage Dance Studio (CSDS) di Kajang, berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia tarian juga aktif sebagai jurutari profesional termasuk pernah membuat persembahan di China mengenakan kebaya dan menari tarian tradisional Malaysia.
“Saya percaya usaha yang dijalankan bersama VIBES melalui kandungan yang dipaparkan oleh hos TikTok dibawah agensi ini akan membantu serta menjadikan ia realiti,” katanya.
Beliau juga berharap lebih banyak rancangan realiti berkenaan tarian diperkenalkan di negara ini bagi menarik minat anak muda.
Katanya, tarian juga satu kemahiran yang boleh menjana pendapatan selain memupuk gaya hidup yang lebih sihat di semua peringkat umur.
Sementara itu, pengasas VIBES, Datuk Seri Eizlan Yusof berkata agensi itu komited dalam memastikan hos TikTok di bawah seliaan mereka menyebarkan kandungan berguna kepada masyarakat.
“Kita sentiasa melatih dan mengingatkan hos kita supaya menampilkan nilai murni dan kandungan yang memberikan impak positif kepada masyarakat.
“Jangan terlalu memikirkan untuk mendapat impak atau tontonan sehingga mengabaikan tatasusila serta memberikan kesan negatif kepada pihak lain seperti yang berlaku baru-baru ini membabitkan hal negara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Tambah Eizlan, hos TikTok juga perlu mengambil selebriti TikTok yang mempu membuat pendapatan dan mengumpul pengikut tanpa menggunakan kandungan sensasi.
Beliau berkata majlis yang diadakan itu sebagai menghargai hos TikTok di bawah VIBES serta menandatangani perjanjian persefahaman dengan SDG.
Pada majlis sama, VIBES turut menandatangani perjanjian persefahaman bersama Synergy Global Agency dan Inspire Agency.
Sementara itu, Eizlan yang juga pelakon turut melancarkan Joe Kurta by Eizlan Yusof sempena sambutan Ramadan dan Syawal selepas lebih 3,000 helai terjual pada tahu lalu.
Katanya, kurta berkenaan mempunyai lapan warna pilihan menawarkan saiz sehingga 2XL. – WILAYAHKU