Berita

Status Biduanita Negara tak halang Siti Nurhaliza berniaga atas talian

- Diterbit 13 Februari 2025 2:57 PM MYT

BIARPUN bergelar Biduanita Negara, penyanyi dan usahawan Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, tidak merasakan satu kesalahan berniaga secara atas talian dan membuat ‘live’ hampir setiap hari.

Bagi Siti, tiada apa yang hendak dimalukan biarpun sudah memiliki nama besar dalam industri.

Sebagai pemilik produk, Siti merasakan menjadi tanggungjawabnya mempromosikan sendiri produk keluarannya tanpa bergantung kepada orang lain.

“Saya memperuntukkan sejam ke sejam setengah setiap kali mengadakan live. Bagi saya tak salahpun nak promosikan produk sendiri di media sosial.

“Sebaliknya saya seronok setiap kali buat live kerana ia menjadikan saya lebih kreatif, selain dapat dekatkan lagi diri dengan pengguna dan peminat.

“Saya tahu bukan semua orang boleh datang menonton konsert saya. Jadi inilah peluangnya untuk mereka melihat saya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan terbaru SimplySiti dan kempen SimplySiti Sejuta Kasih Ramadan, semalam.

Tambah Siti, dia perlu memanfaatkan platform media sosial kerana banyak kelebihan diperolehi sekiranya digunakan dengan baik, lebih-lebih dengan statusnya sebagai selebriti.

“Sebagai usahawan, saya kena buat ‘sale’. Dengan kelebihan yang ada, rugilah kalau saya tak manfaatkan peluang yang ada.

“Walaupun orang lain boleh buatkan, tapi bagi saya impaknya takkan sama berbanding jika saya sendiri yang menjualnya.

“Jadi saya kenalah manfaatkan platform yang ada jika itu dapat membantu jualan dan perniagaan saya. Sebagai ahli perniagaan wanita, rugilah jika saya tak buat ‘sale’,” katanya lagi.

Ujar Siti lagi, dia menjadi lebih bersemangat mengadakan live apabila peminat memberitahu tekanan mereka hilang sebaik menonton sesi livenya.

“Ada yang suruh saya live hari-hari sebab mereka kata dapat hilangkan tekanan.

“Saya cuba untuk live setiap hari tapi bergantung juga pada jadual. Jika tiada sebarang acara yang perlu dihadiri, saya akan lari ke pejabat untuk selesaikan kerja.

“Kemudian barulah saya akan buat live sekitar satu jam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas