Berita

STAR platform utama laksana agenda reformasi perkhidmatan awam

Foto: BERNAMA
- Diterbit 4 Disember 2024 5:21 PM MYT

PASUKAN Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara menjadi platform utama kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi dengan memberikan penekanan khusus kepada pemerkasaan perkhidmatan awam dan pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata KSN telah memperkenalkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam sebagai aspirasi beliau untuk menambah baik perkhidmatan awam selaras dengan era baharu perkhidmatan awam pasca pengumuman Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Agenda ini bermatlamat untuk mewujudkan perkhidmatan awam Malaysia yang berprestasi tinggi menjelang tahun 2030 berpaksikan kepada lima Teras Keberhasilan Reformasi iaitu; Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan, serta Sinergi Awam dan Swasta.

“Sejak penubuhan STAR pada tahun 2023 ia sentiasa komited dalam melaksanakan agenda reformasi secara menyeluruh bagi memastikan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Senator Datuk Noraini Idris berhubung pencapaian STAR dalam mereformasi penyampaian perkhidmatan Kerajaan sejak penubuhannya dan apakah usaha
bersepadu yang sedang ditumpukan bersama agensi-agensi Kerajaan ke arah meredakan komplikasi birokrasi dalam setiap urusan yang melibatkan kemaslahatan rakyat.

Menurut Fadillah, beberapa kejayaan besar yang signifikan turut dilakarkan oleh pasukan ini melibatkan reformasi penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

“Antaranya, Inisiatif Pemerkasaan Pelaksanaan Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif di sekolah berjaya mempercepatkan proses kerja, khususnya dalam aspek perolehan di mana tempoh masa proses perolehan telah dipercepatkan kepada 22 hari bekerja sahaja berbanding 81 hari sebelumnya.

“Secara keseluruhan tempoh masa pelaksanaan projek bermula dari fasa perancangan sehingga projek siap dibina dapat diselesaikan dalam tempoh masa 133 hari sahaja berbanding 270 hari
menerusi proses terdahulu.

“Kejayaan inisiatif ini dibuktikan melalui pelaksanaan projek rintis yang telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor, sebelum diperluaskan kepada projek pembangunan sekolah daif di seluruh negara,” katanya.

Fadillah berkata STAR juga telah berjaya melaksanakan beberapa projek rintis lain seperti mengurangkan tempoh kelulusan permohonan pas ekspatriat daripada 87 hari kepada hanya 5 hari untuk syarikat yang memenuhi kriteria.

“Inisiatif ini dilaksanakan secara dalam talian melibatkan usaha kolektif pelbagai agensi bagi menambah baik urusan permohonan pas penggajian ekspatriat agar lebih efisien, telus dan menjimatkan masa. Sekaligus memberi impak positif terhadap ekosistem perniagaan dan meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata STAR turut berhasil mengurangkan kerenah birokrasi melalui Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

“Sehingga 20 November 2024, sebanyak 200 projek RKB telah didaftarkan oleh kementeriandan agensi. Daripada jumlah tersebut, 42 projek telah berjaya disiapkan melibatkan 21 kementerian, agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan bimbingan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” katanya.

Menurut Fadillah, pencapaian terbesar inisiatif ini melibatkan dua PBT yang berjaya melaksanakan reformasi kerenah birokrasi iaitu Majlis Perbandaran Kulai dan Majlis Perbandaran Kulim.

“Majlis Perbandaran Kulai berjaya melaksanakan Kulai Fast Lane (KFL) yang mencipta lonjakan besar dalam proses kelulusan permit operasi. Masa kelulusan yang dahulunya mengambil tempoh 24 bulan
kini dipendekkan kepada hanya 14 bulan.

” Manakala, Majlis Perbandaran Kulim, Kedah berjaya melaksanakan inisiatif Permit Pembinaan Ekspres (E10) yang menyaksikan pengurangan tempoh masa pemprosesan dan pembinaan kepada hanya 10 bulan berbanding 24 bulan sebelumnya, dan tempoh mendapatkan lesen premis perniagaan hanya dalam masa 24 jam,” katanya.

Jelas beliau, tuntasnya inisiatif-inisiatif yang dijalankan di bawah STAR adalah simbol kecekapan dan kerjasama sektor awam dan swasta bagi menjamin kesejahteraan rakyat, pengembangan ekonomi dan kemakmuran negara.

Kata Fadillah lagi, bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam meredakan komplikasi birokrasi yang melibatkan kemaslahatan rakyat, STAR melalui Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 telah melancarkan Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan pada 24 November 2024.

“Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi adalah satu panduan kepada semua agensi awam untuk mempercepatkan pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi bagi memastikan pentadbiran yang lebih cekap, meningkatkan produktiviti, dan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan.

“Langkah ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kawal selia yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara. Ia juga menyumbang kepada peningkatan produktiviti nasional serta memperbaiki indikator birokrasi dalam Laporan Daya Saing Dunia, dengan matlamat untuk mencapai kedudukan ke-12 teratas menjelang tahun 2033 seperti matlamat Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Tambahnya, Pekeliling Uji Kaji Peraturan pula memberikan panduan kepada pengawal selia untuk menguji pendekatan baharu terhadap peraturan sedia ada agar lebih inovatif, berkualiti tinggi, dan relevan dengan keperluan semasa dalam menangani cabaran semasa yang kompleks.

“STAR meletakkan sasaran 500 projek reformasi kerenah birokrasi bagi tahun 2025, berbanding 200 projek yang telah dan sedang dilaksanakan pada tahun ini melibatkan semua kementerian, agensi, kerajaan negeri, dan PBT.

“STAR akan terus memberikan komitmen untuk mempercepatkan transformasi sektor awam, memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat, dan mendukung agenda pembangunan negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas