PENYANYI Stacy Anam terus mengekalkan identiti Sabah menerusi lagu terbaharunya berjudul Menyala.
Melalui muzik video yang dilancarkan semalam, Stacy menampilkan saudara maranya dari Sabah dalam lagu berkenaan sebagai salah satu usaha mengingati asal usulnya.
Menyala juga menyaksikan juara Akademi Fantasia (AF) 6 itu mencipta sepenuhnya lagu berkenaan dan dia menganggap ia sebagai projek yang sangat istimewa.
“Sebagai seorang yang baru berjinak-jinak dalam penulisan sepenuhnya lirik, lagu dan melodi untuk lagu ini, saya merasa cukup teruja sekali.
“Sebelum ini saya banyak berkolaborasi dengan Akim tetapi kali ini Menyala diciptakan sepenuhnya saya (Bunga Cantik) dan ia membuatkan saya baru faham serta kenal identiti sendiri,” katanya.
Menurut Stacy, Menyala dihasilkan selepas pertandingan The Hardest Singing Show tamat pada Julai lalu.
“Sebenarnya lagu itu sudah lama dibuat iaitu selepas selesai program The Hardest Singing Show sekitar Julai lalu.
“Ini bukanlah kali pertama saya menyuntik elemen Sabah ke dalam lagu saya. Dari lagu pertama Pakai Buang lagi saya selitkan perkataan ‘bah’ yang cukup popular di kalangan rakyat Sabah.
“Begitu juga dengan lagu Kasanova di mana saya masukkan elemen tarian Sumazau dalam lagu itu,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sidang media pelancaran muzik videonya, Stacy berkongsi bakal mengadakan konsert solo pada Jun tahun depan di Sabah.
Katanya, selepas konsert di Sabah, barulah dia akan merancang konsertnya di Semenanjung.
Dalam perkembangan lain, Stacy turut melancarkan muzik video Menyala yang sudah mula boleh ditonton di YouTube.
Menyala adalah kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia, Alternate Records dan Rhythm & Rhyme Entertainment. – WILAYAHKU