SYARIKAT Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) yang merupakan anak syarikat milik penuh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengambil pendekatan turun padang berjumpa pembeli di bawah Skim Pembiayaan Perumahan SPWP yang berdepan dengan masalah tunggakan pembayaran.
Perjumpaan tersebut merupakan projek rintis bertujuan membantu pemilik rumah menyelesaikan bayaran tertunggak melalui beberapa kaedah tertentu selain menjelaskan isu berkaitan perumahan yang kurang difahami oleh pembeli.

Menurut Eksekutif Kanan SPWP, Farhan Azhari, cara tersebut memudahkan SPWP mengetahui masalah atau kekangan yang dihadapi pembeli sehingga mereka tidak mampu menjelaskan bayaran tersebut.
“Alhamdulillah program ini mendapat sokongan penduduk di mana kita pun telah bersemuka dengan mereka untuk mengatasi perkara itu,” ujarnya selepas sesi perjumpaan bersama pemilik di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang pada Sabtu lalu.
Terdahulu, perjumpaan SPWP dan pihak peguam melibatkan 57 orang pemilik yang mempunyai tunggakan bayaran melebihi enam bulan dan ke atas.
“Kita telah mengenal pasti beberapa punca masalah ini antaranya mereka tidak mempunyai pekerjaan selepas pandemik COVID-19 selain ada juga yang berdepan urusan pemilikan nama yang tidak jelas,” katanya perjumpaan tersebut memudahkan SPWP untuk mengetahui masalah yang berlaku.
Bagi menangani permasalah tersebut, pihak SPWP akan melaksanakan sistem penjadualan semula di mana kesemua pemilik rumah berkenaan dikehendaki melunaskan pembayaran mengikut jumlah tunggakan sedia ada berdasarkan tarikh yang telah ditetapkan.
“Untuk seterusnya, peserta perlu jelaskan sejumlah bayaran tertunggak sebagai bayaran permulaan pada bulan pertama diikuti dengan pembayaran berjadual bagi bulan-bulan berikutnya. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian maka tindakan selanjutnya akan dikenakan,” katanya projek rintis ini akan diteruskan di seluruh lokasi PA termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur.
Sementara itu, Peguam, Shahrul Radzlin Mohd Idris berkata keberadaannya adalah untuk memberi penerangan dan membantu masyarakat mengenal pasti kaedah bersesuaian yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikan tunggakan pembayaran. – WILAYAHKU