Berita

SPWP baik pulih rumah warga emas

WAN AZIZAH ketika melawat rumah asnaf yang dibaik pulih pada Majlis Ihsan MADANI di Apartmen Desa Tasik‚ Kuala Lumpur.
- Diterbit 7 Mac 2025 9:30 AM MYT
SYARIKAT Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) memperuntukkan RM30,000 untuk membaik pulih sebuah rumah milik warga emas di Apartmen Desa Tasik melalui Program Ihsan MADANI.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah SPWP, Mohamad Mahathir Mohamed Younos berkata penduduk tersebut, Rokiah Ismail seorang yang uzur dan memerlukan tempat tinggal yang lebih selamat.

“Dengan perbelanjaan mencecah RM30,000, rumah tersebut telah dibaik pulih dan diserahkan kembali kepada pemiliknya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ihsan MADANI di Apartmen Desa Tasik, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed.

Menurut Mohamad Mahathir proses baik pulih kediaman tersebut mengambil masa selama 30 hari.

“Dari segi penilaian, kita akan melihat aspek keseluruhan rumah sama ada dari segi dalaman, infra contohnya struktur siling, lantai dan sebagainya termasuk bahagian-bahagian komponen seperti pintu.

“Dari situ juga kita dapati di kawasan Apartmen Desa Tasik ini memang ada rumah yang kalau kita lihat sebelum ini memang tidak kondusif dan selamat untuk didiami kerana penuh dengan belukar dan semak samun. Oleh sebab itu kita cuba dapatkan sokongan daripada SPWP melalui YWP untuk memulakan proses baik pulih ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dalam menjayakan usaha murni tersebut antaranya YWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Bandar Tun Razak dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Dalam majlis sama, seramai sembilan orang pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima Skim Bantuan Awal sebanyak RM700 seorang daripada YWP.

Bantuan tersebut diberikan secara one-off untuk membantu pelajar memulakan pengajian di IPT.
 Selain Skim Bantuan Awal IPT, tiga individu lain menerima Bantuan Perubatan YWP bagi meringankan beban kos rawatan dan perubatan mereka.

Bantuan tersebut diberikan berdasarkan keperluan pesakit untuk mendapatkan rawatan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.

Dalam masa sama, 100 orang penduduk Desa Tasik yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan turut menerima Bakul Makanan MADANI daripada YAPEIM. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas