SIASATAN yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap empat bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan kes rasuah dan pengubahan wang haram menjadi bahan perbualan netizen di media sosial.
Namun begitu, ada netizen yang menimbulkan persoalan malah menuduh ‘serangan’ terbaru itu dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akibat tidak sealiran pendapat meskipun masing-masing dalam blok kerajaan.
Dakwa mereka, kerajaan tidak menangani sepenuhnya isu rasuah dan hanya tertumpu kepada sesiapa yang dianggap musuh dalam politik.
Dalam masa yang sama, mereka mendakwa Perdana Menteri perlu membuktikan bahawa usaha membanteras rasuah tidak berat sebelah dan tidak digunakan sebagai alat untuk menekan musuh politiknya.
Tuduhan itu memang tidak berasas sama sekali kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kesemua empat individu yang ditahan itu disiasat atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram namun mereka telah dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman tamat pada 23 dan 25 Februari lalu.
Dalam masa yang sama menurut Azam siasatan terhadap Ismail Sabri berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram bukan bermotif politik.
Katanya siasatan itu dilakukan secara telus dan bukan atas arahan daripada mana-mana pihak.
“Saya tanya anda semula (wartawan), adakah anda rasa siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri ini bermotif politik?
“Saya tidak rasa begitu. Saya kekal dengan prinsip menyiasat dengan profesional dan telus tanpa mengambil kira sebarang darjat atau kedudukan.
“Tiada arahan daripada mana-mana pihak. Kita buat siasatan berdasarkan maklumat dan laporan yang kita terima,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.
Pada Ahad lalu, SPRM mengesahkan Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM dalam kenyataan berkata fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa pemimpin tersebut menerajui kerajaan.
SPRM turut mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggar bernilai RM7 juta di beberapa premis. – WILAYAHKU