Berita

SPRM tak pernah buat kenyataan RM94 juta ditemukan di kediaman bekas menteri

- Diterbit 4 November 2024 8:33 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak pernah membuat sebarang kenyataan mendakwa RM94 juta ditemukan di kediaman bekas menteri.

Penegasan itu turut melibatkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki susulan kenyataan seorang Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.

“SPRM ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

“Walaupun SPRM menghormati hak Ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan mereka secara bebas, adalah penting agar kenyataan yang dibuat berasaskan fakta yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mempersoalkan siasatan terhadap bekas menteri yang dibuat oleh SPRM.

“Begitu juga dengan kes RM94 juta yang mana didapati di sebuah menteri dijumpai RM94 juta sampai sekarang kita tidak tahu setakat mana siasatan telah dibuat,” dakwanya.

Untuk itu SPRM menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang kenyataan telah dibuat oleh suruhanjaya ini mahupun Ketua Pesuruhjaya SPRM berkaitan penemuan jumlah itu di kediaman bekas menteri tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas