Berita

SPRM tahan reman dua individu termasuk seorang Timbalan Pengarah disyaki minta, terima rasuah RM600,000

- Diterbit 21 Januari 2025 12:35 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang Timbalan Pengarah sebuah agensi kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000.

Ia daripada syarikat-syarikat pelabur sebagai balasan membantu memudahkan syarikat-syarikat tersebut mendapatkan kelulusan yang dimohon.

Perintah reman selama enam hari sehingga 26 Januari dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2019 hingga 2024.

“Kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank sebuah syarikat perunding yang berperanan sebagai orang tengah,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas