SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu disyaki terbabit dalam satu penipuan yang melibatkan dana-dana pelaburan orang awam.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 21 Januari itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha binti Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kelima-lima suspek termasuk empat ahli lembaga pengarah syarikat yang berusia lingkungan 50 sehingga 60-an ditahan sekitar pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan berunsur jenayah yang dilakukan oleh sebuah syarikat pemegang amanah berlesen di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Syarikat tersebut didapati menggunakan dana yang dikumpul daripada pelabur-pelabur untuk kepentingan peribadi individu-individu yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah ini,” kata sumber.
Sejumlah kira-kira RM104 juta telah dikesan diselewengkan daripada syarikat tersebut ke beberapa syarikat persendirian yang dimiliki oleh proksi, tambahnya.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dalam satu operasi Op Trust.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, modus operandi kegiatan tersebut memerlukan kepakaran yang tinggi dalam kalangan pegawai SPRM untuk menjejak aliran kewangan.
“Selain itu, siasatan ini bertujuan membantu kerajaan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap badan pengawal selia yang mengeluarkan lesen untuk syarikat-syarikat pemegang amanah, selain mewujudkan platform yang bersih dan selamat untuk bakal pelabur,” katanya. – WILAYAHKU