Berita

SPRM tahan enam individu termasuk jurutera awam dan tiga pemilik syarikat

WANG tunai yang turut dirampas dalam serbuan SPRM berkaitan rasuah bagi memonopoli kesemua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di dua daerah sekitar negeri Sarawak
- Diterbit 5 Februari 2025 10:58 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat disyaki memberi rasuah bagi memonopoli kesemua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di dua daerah sekitar negeri Sarawak.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 70-an itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari tadi di beberapa lokasi sekitar Sarawak melalui satu operasi khas yang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisyen sehingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.

“Pada masa yang sama, jurutera awam tersebut turut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan,” katanya.

Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Miri, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak esok untuk tujuan permohonan reman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas