Berita

SPRM tahan dua lagi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit rasuah RM2.6 juta

- Diterbit 15 Februari 2025 10:57 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu disyaki terbabit rasuah serta mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pengeluaran wang syarikat kira-kira RM2.6 juta.

Perintah reman selama empat hari sehingga 17 Februari terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek wanita berusia sekitar 40-an dan suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu telah ditahan antara pukul 7 dan 11 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat tersenarai awam dan Pengarah Syarikat disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kira RM2.6 juta yang kemudian dipindahkan ke akaun syarikat di mana suspek wanita itu bekerja,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas