Berita

SPRM syor buat SOP perlombongan REE

Foto: SPRM
- Diterbit 25 Oktober 2024 4:31 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan setiap kerajaan negeri mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi penguatkuasaan perlombongan berkaitan unsur nadir bumi (REE).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata penambahbaikan itu bagi menutup ruang kepada jenayah rasuah dan perbuatan mencuri hasil negara akibat ketiadaan SOP tersebut.

“Daripada pengalaman siasatan kita, REE ini tiada SOP sebenarnya, sebab bila nak keluarkan lesen, dulu dah tetapkan pada mineral tertentu, tapi REE tiada.

“Saya ambil contoh pengeluaran bauksit, dahulu bauksit itu sendiri tiada SOP. Kemudian baru diwujudkan SOP khas terutamanya mengenai bila nak keluarkan lesen perlombongan berkenaan, semua ini perlu diperjelaskan (dalam SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) 2024 Peringkat Negeri, di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Sebelum itu di dalam ucapannya, Azam berkata ketiadaan SOP dalam perlombongan hasil bumi negara menyebabkan terdedah kepada ketirisan.

Beliau memberi contoh kes yang berlaku pada tahun lalu berkaitan penyelewengan hasil REE.

Katanya, ia antara lain berpunca daripada kelemahan pemantauan dan ketiadaan SOP berkaitan penguatkuasaan berhubung REE.

“Oleh sebab itu, amat penting untuk organisasi mengkaji dan menambah baik amalan, sistem dan prosedur sedia ada agar boleh menutup ruang-ruang kepada rasuah.

“Berhubung perkara ini, Bahagian Penyiasatan Tatakelola di peringkat Ibu Pejabat SPRM dan Unit Penyiasatan Tatakelola di peringkat SPRM Negeri sedia membantu mana-mana organisasi dalam menambah baik amalan, sistem dan prosedur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas