Berita

SPRM reman wartawan disyaki minta, terima rasuah RM20,000

- Diterbit 1 Mac 2025 1:00 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang wartawan sebuah portal kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000.

Ini sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.

Perintah reman selama empat hari sehingga 4 Mac terhadap suspek dikeluarkan Majistret Beveniyah R Jothi, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an itu telah ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semalam di sebuah hotel di Shah Alam hasil aduan dan ‘trap’ yang dilakukan pegawai penyiasat SPRM.

“Suspek ditahan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah, bukannya sebab laporan berita yang ditulisnya mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti yang dilaporkan.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang rasuah sebanyak RM100,000 tetapi setelah berunding, suspek bersetuju menerima ‘pendahuluan’ kira-kira RM20,000,” katanya.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 telah disita.

caption:
SEORANG wartawan yang direman selepas disyaki meminta dan menerima rasuah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas