Berita

SPRM reman 4 individu babit rasuah pinjaman peribadi

- Diterbit 18 Januari 2025 7:35 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman empat lagi individu melibatkan dua pegawai serta dua bekas pegawai institusi perbankan kerana disyaki menerima rasuah.

Menurut SPRM rasuah itu diterima sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi yang dikemukan sebuah syarikat perunding kewangan.

Kata SPRM perintah reman selama lima hari sehingga 22 Januari 2024 terhadap dua suspek lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, keempat -empat suspek tersebut ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai institusi perbankan yang telah membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.

“Pegawai-pegawai institusi perbankan ini dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang bertindak menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi,” katanya.

Di mahkamah yang sama, Majistret Irza juga membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari sehingga 21 Januari 2024 terhadap lima suspek lelaki yang sebelum ini ditahan SPRM pada Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan terhadap empat lagi supek berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, tujuh lagi individu yang sebelum ini telah ditahan reman pada Rabu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas