SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan berita menyatakan organisasi itu telah menerima arahan agar tidak melakukan siasatan terhadap individu tertentu membabitkan pembelian saham sebuah syarikat.
SPRM dalam kenyataannya pada Jumaat menegaskan, perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini.
“Kita telah mengesan laporan berita yang disiarkan di sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa yang tidak tepat serta tidak berkredibiliti yang membuat tohmahan terhadap suruhanjaya ini.
“Suruhanjaya menafikan dakwaan berita berkenaan yang menyatakan bahawa SPRM telah menerima arahan pihak tertentu agar tidak melakukan siasatan berkenaan,” katanya.
Menurut SPRM, untuk makluman, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan adalah ‘without fear or favour’, tanpa ada campur tangan mana-mana pihak, adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.
“Ditegaskan bahawa SPRM tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.
“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas,” katanya.
SPRM juga katanya, tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka.
Sehubungan itu SPRM berharap agar orang ramai tidak terpedaya dengan tohmahan mana-mana pihak yang cuba mengaitkan suruhanjaya ini bagi menyerang kepentingan pihak-pihak tertentu. – WILAYAHKU