SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Piagam Pelanggan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia baharu.
Menurut SPRM piagam itu telah diberi penambahbaikan selari dengan perubahan semasa.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata objektif penambahbaikan piagam pelanggan tersebut bagi menjadikan SPRM sebuah agensi pencegahan rasuah yang unggul di dunia.
Katanya ini bagi memastikan perkhidmatan SPRM sentiasa memenuhi harapan tinggi rakyat.
“Kali terakhir Piagam Pelanggan SPRM ditambah baik adalah pada tahun 2015 dan diguna pakai sehingga tahun 2024.
“Penambahbaikan ini merupakan komitmen serta jaminan SPRM kepada pelanggan dan pemegang taruh bahawa penyampaian perkhidmatan akan mematuhi piawaian kualiti yang telah ditetapkan,” katanya pada Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Perhimpunan Bulanan.
Dalam pada itu, Azam berkata tujuh perkara yang telah diberi penambahbaikan di dalam Piagam Pelanggan baharu ini ialah bertindak ke atas aduan berunsur rasuah dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.
Beliau berkata pengadu boleh mengetahui status siasatan ke atas aduannya selepas 28 hari bekerja.
“Maklumat dan identiti pemberi maklumat dirahsiakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
“Keputusan tapisan keutuhan melalui sistem tapisan keutuhan (e-STK) akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari,” katanya.
Selain itu, Azam berkata SPRM akan memberi maklum balas ke atas permohonan program pendidikan antirasuah yang diterima dalam tempoh lima hari bekerja.
Katanya, pemberi maklum balas ke atas permohonan program domestik dan antarabangsa dalam tempoh tujuh hari bekerja dan memuat naik maklumat berkaitan pesalah rasuah dalam Pangkalan Data Pesalah Rasuah dalam tempoh 14 hari bekerja selepas tarikh sabitan oleh mahkamah.
Sementara itu, Azam dalam ucapan Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, selaras dengan Pelan Strategik SPRM 2021-2025, tiga hala tuju dan strategi utama SPRM yang difokuskan bagi Pencapaian Negara Bebas Rasuah.
“Tiga hala tuju tersebut ialah pemerkasaan penguatkuasaan berkesan (sektor operasi); pencegahan rasuah yang menyeluruh (sektor pencegahan) dan pembudayaan integriti (sektor pengurusan),” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]