SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kementerian Ekonomi bersepakat untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau projek-projek yang diluluskan di peringkat negeri dan daerah.
Menurut SPRM, terma-terma pasukan khas ini melibatkan pertukaran maklumat antara kementerian dan SPRM berhubung jumlah peruntukan yang diluluskan kepada negeri dan daerah.
“Begitu juga pelaksanaan pemeriksaan mengejut dan siasatan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam perlaksanaan projek-projek yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan.
Jelas SPRM, terma lain adalah mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam Tatacara Pelaksanaan (SOP) dan menambah baik SOP ke arah pengurusan tatakelola dalam penentuan serta penyaluran bajet, pemantauan dan perlaksanaan projek dengan lebih berkesan.
Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki mengalu-alukan keseriusan dan keterbukaan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan bagi mengekang ketirisan projek-projek yang diluluskan oleh Kementerian Ekonomi demi kepentingan rakyat.
“Keterbukaan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Menteri amatlah penting dan wajar dijadikan contoh untuk lain-lain kementerian dan agensi,” katanya. – WILAYAHKU