Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

SPRM jalan tanggungjawab secara profesional

AZAM Baki
- Diterbit 17 Mei 2024 9:50 AM MYT

USAHA yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak. Malah ada yang mendakwa pihak SPRM berat sebelah.

Agak keterlaluan apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dikatakan tidak melaksanakan tugas dengan sewajarnya.

Malah pihak yang tidak bertanggungjawab itu turut mendakwa pemimpin dalam kerajaan yang terlibat dalam rasuah tidak diambil tindakan dan diabaikan hanya kerana kepentingan politik.

Sedangkan semua tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa tegas dengan isu tersebut. Malah beliau tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pimpinan kerajaan yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

Sebelum ini, Anwar berkata dalam tempoh lebih setahun Kerajaan MADANI, tiada mana-mana pemimpin yang terlibat dengan aktiviti rasuah.

Bukan mudah mahu perangi rasuah. Apatah lagi, seiring perubahan zaman, teknologi dan kepintaran, manusia, jenayah rasuah turut tidak ketinggalan mengalami revolusi.

Memetik kenyataan Azam, beliau berkata akan terus memastikan amanah dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti.

“Menjunjung kasih ke bawah duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula saya ke jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Harapan besar agar seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini,” kata beliau.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan pelanjutan kontrak selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam.

Sementara itu, Anwar menyifatkan usaha SPRM memerangi gejala rasuah sebagai pertarungan yang dahsyat kerana Azam dan warga SPRM turut berdepan dengan tohmahan dan serangan keselamatan.

“Saya percaya keluarga SPRM tahu bagaimana kadang-kadang mereka terpaksa hadapi serangan, tohmahan dan juga isu keselamatan dalam pertarungan ini, ia pertarungan yang dahsyat,” kata beliau di Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas