SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu perniagaan fesyen dalam talian tempatan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan ini penting kerana ia melibatkan penggunaan dana awam dan menjadi isu berkepentingan awam.
‘SPRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan secara adil dan profesional,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Azam berkata, orang ramai diminta memberi ruang untuk siasatan dilakukan serta mengelakkan spekulasi dan ‘perbicaraan awam’ terhadap pihak yang terbabit.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Pada Khamis, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengarahkan Khazanah, PNB dan FashionValet memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.
Bagaimanapun ketiga-tiga pihak masing-masing Khazanah, PNB dan FashionValet telah mengeluarkan kenyataan mereka. – WILAYAHKU