Berita

SPRM bongkar kartel projek bekal baja bernilai RM1.8 bilion

- Diterbit 29 Oktober 2024 8:23 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Beberapa siri bongkaran telah dilakukan SPRM dalam tempoh dua hari ini di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Menurut sumber, projek di bawah kementerian berjumlah RM1.8 bilion itu telah dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.

Pertubuhan terbabit dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada pesawah-pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri masing-masing.

Hasil siasatan mendapati pertubuhan ini telah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja-baja padi daripada lima syarikat pengeluar dan membeli bahan-bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat.

Siasatan SPRM akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih.

Selain itu, siasatan juga menjurus kepada kesalahan salah guna kuasa yang mungkin berlaku di mana ahli-ahli lembaga pengarah yang terlibat dalam membuat keputusan dalam pemilihan syarikat-syarikat berkepentingan.

SPRM telah merampas dokumen-dokumen berkaitan projek ini di peringkat kementerian, pertubuhan dan syarikat berkaitan dan dalam peringkat kajian mendalam.

Enam orang pegawai kementerian dan pertubuhan terbabit telah dipanggil SPRM untuk ditemu bual.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan ini dan tidak menolak akan menahan beberapa orang yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16, Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas