SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan lebih RM15 juta semalam.
SPRM dalam satu kenyataan berkata ia berikutan dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai yang telah dijalankan sejak 17 Oktober lepas.
“Pihak SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.
“Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya hari ini.
SPRM turut memaklumkan pihaknya telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal telah mengenalpasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan,” ujarnya. – WILAYAHKU.