Berita

SPR timbang kajian semula persempadanan pilihanraya Sarawak

- Diterbit 10 Disember 2024 10:57 AM MYT

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang menimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihanraya di negeri Sarawak berikutan lat tempoh lapan tahun bagi Negeri Sarawak telah pun berakhir pada tahun 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan serta menurut bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

“Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pelan tindakan SPR dalam urusan semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di Sarawak yang baru berikutan tempoh lapan tahunnya telah tamat pada 19 Ogos 2023 yang lalu.

Menurut Azalina, berdasarkan peruntukan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, prinsip-prinsip persempadanan yang dipegang oleh SPR adalah untuk memastikan kemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.

“Salin itu ia turut mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihanraya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.

“SPR juga peru melihat jumlah pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan; dan mengekalkan hubungan masyarakat tempatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas