KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan sistem aduan digital baharu dikenali sebagai SPEAKS, dibangunkan oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi memudahkan rakyat menyalurkan aduan terhadap pasukan penguat kuasa.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem ini menjadi pelengkap kepada fungsi utama IPCC dalam menerima aduan awam, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah fizikal dan surat menyurat.
“Aduan kini boleh dihantar terus melalui SPEAKS dengan syarat lengkap – bila, di mana, siapa dan bagaimana ia berlaku. Ia selaras dengan Akta IPCC.
“Sekiranya ada unsur jenayah atau rasuah, kita akan rujuk kepada PDRM dan SPRM,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN yang dihoskan IPCC.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem ini merupakan langkah ke hadapan dalam meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pasukan penguatkuasaan negara.
Sementara itu, Saifuddin memaklumkan
KDN sedang meneliti penjelasan pihak media berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia tanpa bulan sabit, yang tular dan mencetuskan kemarahan rakyat baru-baru ini.
Katanya, tindakan media yang cuai atau tidak sensitif terhadap lambang negara boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 414 (Akta Lambang dan Bendera 1963) dan Akta 301 (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984).
“Kita telah hubungi pihak Sin Chew dan mereka telah beri maklum balas. Kita akan siasat secara profesional.
“Tapi saya ingin tegaskan – bendera bukan sekadar kain, ia lambang kedaulatan negara. Kelalaian sebegini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang yang jelas.-WILAYAHKU