Selebriti

Sophia elak perkara bukan-bukan

- Diterbit 8 Mac 2024 10:00 AM MYT

JIKA sebelum ini nama pelakon jelita Sophia Albarakbah sering dihimpit cerita-cerita panas, kini pelakon filem Harimau Malaya ini mahu fokus bekerja.

Pemilik nama sebenar Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 31, berkata kontroversi yang datang bukanlah kehendaknya dan dia tidak mampu menutup mulut orang daripada terus berkata-kata.

“Sekarang adalah masa untuk fokus bekerja. Biarlah orang kenal saya menerusi bakat lakonan pula. Iyalah, asyik cerita panas saja. Nanti orang naik bosan.

“Tentang kontroversi itu, ia bukanlah dirancang dan tak boleh halang pun kalau ia nak datang. Namun, kalau boleh saya nak elakkan perkara-perkara yang boleh mengundang cerita yang tidak elok.

“Saya masuk industri kerana minat dan cinta dalam bidang lakonan. Segala peluang yang ada, tidak harus saya sia-siakan,” ujarnya yang dikatakan menjadi rujukan kepada artis-artis baharu dalam menangani kontroversi.

Ternyata bukan mudah jika terkait dengan kontroversi namun Sophia berjaya melepasi fasa tersebut dengan caranya yang tersendiri.

“Tipulah kalau cakap saya tak pernah stres memikirkannya dulu. Macam-macam cerita timbul dan saya harus berhadapan dengan situasi itu. Kalau ada yang anggap saya sebagai rujukan atau contoh apabila berhadapan dengan kontroversi, itu penilaian masing-masing.

“Saya tak boleh kata itu cara terbaik atau bagus. Semuanya terpulang kepada diri masing-masing,” katanya.

Sophia berkata elakkan sikap terburu-buru dalam membuat sebarang tindakan dan perlu bijak mengawal emosi.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila berhadapan situasi yang kurang menyenangkan adalah bertenang. Jangan sesekali atau elak perkara yang bukan-bukan dan membuat kenyataan yang tak sepatutnya.

“Jangan cepat melenting dan dalam masa yang sama, fikirkan kesan sebelum menjawab atau bertindak. Binalah kekuatan diri  dengan memohon kepada Allah dan terus fokus terhadap apa yang kita minat. Sibukkan diri dengan kerjaya.

“Macam saya terlalu minat berlakon. Apabila fokus, insya-Allah apa dugaan atau cerita sensasi yang datang, boleh membuatkan kita rasa kurang terbeban memikirkan soal kecaman atau komen-komen netizen,” ujarnya.

Penerima anugerah Ratu Telenovela dan Pelakon Wanita Popular di Anugerah Telenovela Ke-9 ini meluahkan rasa syukur apabila bakatnya semakin diterima ramai.

“Sekarang shooting back to back. Memang penat tapi saya bersyukur rezeki tidak pernah putus. Saya sangat mengidolakan Erra Fazira. Dia sangat hebat dan merupakan seorang primadona yang hadir dengan pakej lengkap.

“Apabila semakin hari nama saya semakin dikenali dan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya. Dalam masa yang sama, sebagai pelakon sudah tentu saya juga mengharapkan pengiktirafan dari sudut kualiti lakonan,” ujarnya mengimpikan untuk bergelar pelakon terbaik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas