Berita

Sokong usaha kerajaan, polis jalan siasatan

Foto: BERNAMA
- Diterbit 27 September 2024 11:35 AM MYT

USAHA kerajaan dan pihak berkuasa keselamatan serta agama membanteras gejala di luar kerangka undang-undang perlu disokong semua pihak.

Demikian perkara utama ditekankan Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar merujuk kepada kes melibatkan isu Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH).

Sehingga kini, lebih 100 individu yang dikaitkan dengan pertubuhan itu sudah ditahan manakala 572 mangsa berjaya diselamatkan.

Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, ahli GISBH masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar pada 1994.

Untuk itu Zainul Rijal berpandangan, PDRM dan pihak bertanggungjawab yang lain perlu diberi ruang dan peluang untuk mengadakan siasatan yang bebas.

Mengulas dari aspek eksploitasi melibatkan kakitangan GISBH, katanya, perlu dipastikan sama ada mereka sebenarnya pekerja yang berbayar atau ‘diperhambakan’ tanpa sebarang bayaran termasuk kanak-kanak.

“Sekiranya mereka dieksploitasi tanpa sebarang imbuhan, memang wajar eksploitasi itu dihentikan dan tindakan lanjut dari sudut undang-undang perlu diambil,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau menambah, jika mereka adalah pekerja yang dibayar gaji, ia perlu dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan kerana kegagalan membayar gaji.

“Membuat sesuatu di luar kerangka undang-undang adalah salah dan majikan patut menanggung risikonya,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan bahawa ada pihak dalam PDRM cuba melindungi kegiatan GISBH seperti yang ditularkan di media sosial.

“Dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan berniat jahat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesej yang tular mendakwa terdapat hubungan rapat antara seorang bekas pegawai kanan PDRM dengan kepimpinan GISBH.

Malah beliau menafikan dakwaan bahawa siasatan terhadap GISBH dijalankan secara keterlaluan.

Beliau berkata sebaliknya kes terhadap syarikat itu dijalankan secara teliti serta mematuhi undang-undang.

Razarudin turut menyelar pihak yang mendakwa siasatan yang dilakukan itu berbaur politik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas