Oleh NAZWIN NAZRI
winwilayahku@gmail.com
Foto NAZIRUL ROSELAN
KUALA LUMPUR – Pemilik-pemilik tanah Kampung Baru menyambut baik rancangan pembangunan semula kampung tersebut dan berharap tawaran jualan tanah berjalan lancar sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak.
Salah seorang pemilik, Hasan Abu Hanif, 68, berkata, dia berharap tawaran kerajaan kali ini menjadi kerana perkara tersebut pernah disuarakan pada awal 90-an iaitu semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat dan kini beliau kembali menerajui negara.
Ujar beliau, Kampung Baru wajar dibangunkan kerana ia dapat memberi manfaat seperti kawasan-kawasan di sekitar antaranya Brickfields dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang kini pesat membangun serta menjadi salah satu lokasi menarik di ibu kota.
Katanya, sampai bila pemilik serta waris hendak mempertahankan hak mereka atas faktor tanah pusaka kerana jumlah pewaris semakin ramai dan ia akan menyukarkan semua pihak.
“Saya harap semoga jualan dan pengambilan tanah Kampung Baru menjadi dan harga yang ditawarkan kepada pemilik tanah berpatutan.
“Kerajaan patut tawar harga yang lebih bagus untuk tanah di Kampung Baru ini kerana ia tanah Melayu. Duhulu harga tanah RM500, hasil pencarian datuk nenek,” katanya yang memiliki tanah seluas 8,712 kaki persegi di sekitar Hujung Pasir, Jalan Raja Ali.
Dia berkata demikian kepada wilayahku selepas sesi Town Hall kedua bersama pemilik tanah bersama Perbadanan Kampong Bahru pada 7 September lalu.
Sesi Town Hall tersebut diadakan menjelang pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama seluruh pemilik dan waris tanah di Kampung Baru.
Difahamkan pada pertemuan yang bakal diadakan di Dewan Felda di sini, kerajaan bakal mengumumkan tawaran kadar harga penjualan tanah dan membentangkan pelan menyeluruh cadangan pembangunan semula Kampung Baru.
Menurut Hasan, sebelum ini tanah milik arwah ibunya dijual pada harga yang tinggi pada 2008 dan kini dibangunkan menjadi Hotel Tamu.
Sementara itu, seorang lagi pemilik tanah, Rahmah Abu, 76, pula berkata, hasrat kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru amat dialu-alukan kerana lokasi tersebut kini dipenuhi warga Indonesia termasuk peniaga-peniaga kedai makan selain sukar untuk melalui kawasan sekitar yang terlalu padat.
“Kalau kerajaan hendak ambil, wang pampasan boleh beri kepada anak-anak dan kalau boleh saya mahu sebuah rumah.
“Pada masa ini, masih belum dimaklumkan tentang nilai yang ditawarkan. Sebelum ini, kerajaan nak bayar RM600 sekaki persegi tetapi terdapat masalah dan pernah juga menawarkan RM400 sekaki persegi pada tahun 90-an,” ujarnya yang merupakan generasi kedua dan mempunyai empat adik beradik.
Kata Rahmah, tanah pusaka patut diselesaiakn dengan elok dan cepat supaya tidak bergaduh sesama adik beradik serta saudara mara.
Seorang lagi pemilik tanah, Zaini Anuar, 55, menyatakan, dia amat meyokong usaha pembangunan kerana keadaan di Kampung Baru umpama hidup segan, mati tidak mahu dan dilanda burung garuda sehingga mengakibatkan ketidakselesaan kepada penduduk.
Seperti pemilik yang lain, dia juga berharap nilai jualan tanah yang ditawarkan kerajaan berpatutan dan harga rumah mampu milik tidak mahal.
Dalam pada itu, tinjuan Wilayahku mendapati, terdapat beberapa pihak yang mengalami masalah pembahagian tanah dan kekeliruan pemilikan seperti seperti yang dialami seorang wanita berusia awal 50-an.
“Saya mengalami masalah apabila tanah lot milik saya didaftarkan atas nama orang lain. Tidak tahu ada kaitan kekeluargaan atau tidak tetapi nama tersebut didaftarkan oleh individu yang berada di Terengganu,” katanya yang merupakan generasi ketiga.