SEMUA Ahli Parlimen diseru supaya membulatkan tekad dalam menggembleng usaha demi memelihara kedaulatan, kestabilan dan kemakmuran bersama dengan menyokong sepenuhnya Kepengerusian Malaysia dalam Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) 2025.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ia susulan Malaysia akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
Untuk itu menurut beliau, di bawah tonggak legislatif, Parlimen Malaysia akan menjadi Presiden AIPA.
“Ia merupakan suatu platform untuk memperkukuh kesinambungan kerjasama antara badan-badan legislatif negara-negara anggota ASEAN dan juga menjadi wadah membincangkan isu-isu penting seperti kestabilan geopolitik, keterjaminan makanan, inovasi digital dan perkembangan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam nota penutup Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, ruang dan peluang yang tersedia itu membolehkan Parlimen Malaysia memperkukuh hubungan diplomasi Parlimen melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik serta mencari penyelesaian secara bersama dalam menangani cabaran serantau dan global.
Dalam perkembangan lain jelasnya, Mesyuarat Pertama Parlimen tahun depan akan menekankan dua langkah baharu ke arah mengamalkan polisi ‘paperless’ dan kesinambungan daripada inisiatif hijau yang diterap dalam persekitaran dewan perwakilan rakyat itu pada masa ini.
Menurut beliau, pertamanya adalah jawapan bertulis daripada pihak kementerian kepada wakil rakyat akan diberikan secara terus melalui e-mel.
“Kedua, kertas Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) yang akan diedarkan kepada ahli-ahli Yang Berhormat juga hanyalah melibatkan Bahagian Pertama iaitu Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri dan Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
“AUM yang lengkap yang melibatkan Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri dan Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan senarai Rang Undang-Undang dan usul-usul serta risalat-risalat yang diberikan secara fizikal sebelum ini akan dimuat naik ke e-risalat,” katanya.
Beliau berkata, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 ini telah berlangsung selama 35 hari mulai 14 Oktober lalu sehingga hari ini.
Katanya, kebanyakan hari mesyuarat Dewan Rakyat telah tamat lebih lewat dari pukul 5.30 petang dan sidang hingga ke malam dengan lebihan masa sebanyak 48 jam bersamaan dengan lapan hari persidangan.
“Pada Mesyuarat Ketiga ini, Dewan Rakyat telah meluluskan sebanyak 26 Rang Undang-Undang dan tiga usul substantif. Pada mesyuarat ini juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) telah membuat penerangan masing-masing berjumlah tujuh penerangan untuk penyata-penyata PAC dan JKPK yang telah dibentangkan.
“Saya dan timbalan-timbalan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama yang baik bagi membolehkan perjalanan Majlis Mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini,” katanya. – WILAYAHKU