SIMPATI sungguh kawan-kawan Kedai Kopi kepada peniaga bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR)‚ Kuala Lumpur‚ yang mengeluh perniagaan tahun ini begitu perlahan dibandingkan tahun lalu.
Ada peniaga mendakwa setelah berniaga beberapa hari mereka masih belum mencapai kadar jualan yang memuaskan. Ini merisaukan memandangkan Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi.
Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan‚ ramai juga berkunjung ke bazar Aidilfitri tersebut namun mereka bukan untuk membeli‚ tetapi lebih kepada ‘cuci mata’.
Orang ramai dikatakan lebih berminat membeli kelengkapan Aidilfitri secara dalam talian. Ini kerana harganya lebih murah. Tetapi kelebihannya‚ di bazar‚ boleh melihat sendiri jualan di hadapan mata untuk dipilih.
Di samping itu‚ ramai malas bersesak-sesak datang ke bazar untuk membeli. Oleh itu cara mudah pesan dan bayar sahaja dalam talian‚ tunggu barang sampai.
Pembelian dalam talian kini jadi budaya rakyat negara ini kerana mudah‚ menjimatkan masa dan tenaga. Kawan-kawan Kedai Kopi harap jualan di bazar Aidilfitri akan bertukar rancak. Peniaga berniaga untuk mencari rezeki. Mereka juga mahu meraikan Aidilfitri seperti kita semua.