Biz

Snek eksotik kebanggaan rakyat Malaysia

MOHAMAD ANIF dan isteri sentiasa memastikan Aducktive mampu bersaing di pasaran dalam dan luar negara.
- Diterbit 5 Mac 2024 11:27 AM MYT

BUKAN mudah untuk berjaya namun tidak mustahil untuk mencapainya seperti kata pepatah ‘Bersusah-susah dahulu, Bersenang-senang kemudian’. Itu perumpamaan yang dapat digambarkan apa yang pernah dilalui pengusaha Aducktive Food Sdn Bhd, Mohamad Anif Azami.

Lima tahun lalu ketika perniagaannya baru bermula, dia dan isteri, Nor Shahira Kamaruzaman memulakan perniagaan tanpa modal yang besar, hanya menggunakan saki baki duit gaji yang diperolehi.

Malah, mereka hanya memanfaatkan peralatan yang ada di rumah selain membeli barangan terpakai bagi menghasilkan snek Aducktive yang dikategorikan sebagai snek eksotik atau umami snek.

“Saya akui bukan mudah untuk berada dalam perniagaan namun kalau tak cuba, bagaimana kita tahu. Permulaannya kami cuba pasarkan kepada kawan-kawan dan kenalan, bila ramai yang cuba, mereka kongsikan maklum balas yang sangat positif.

“Alhamdulillah jualan sangat hebat serta menjadi kegemaran ramai tidak kira musim. Lebih membanggakan, setakat tahun 2024, Aducktive juga telah merekodkan hampir 5 juta unit telah terjual di pasaran menerusi dua segmen iaitu secara atas talian dan melalui kedai-kedai,” ujarnya.

Menggunakan bahan asas premium seperti emping jagung, kulit popiah dan cendawan tiram, itu merupakan kelebihan snek Aducktive yang tidak sama dengan snek berasaskan kentang dan jagung yang terdapat di pasaran.

Turut berkongsi kejayaan dengan masyarakat di luar, setakat 2024, Aducktive mempunyai seramai 1,000 orang dropship, ejen dan stokis yang berdaftar di seluruh Malaysia dan Singapura.

“Kami juga sudah menembusi pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat, Brunei, Hong Kong, Singapura dan lain-lain. Sempena ulangtahun ke-5 Aducktive, kami baru sahaja menghantar 10 jenis produk untuk ke pasaran Amerika Syarikat.

“Justeru itu untuk tahun 2024 ini, Aducktive perlu lebih agresif dalam mengedarkan produk ke pelbagai rangkaian jualan dan lokasi agar misi kami untuk lebih dikenali dan menjadi snek kebanggaan rakyat Malaysia dapat direalisasikan,” ujarnya.

Berkongsi kenangan manis, Mohamad Anif berkata usahawan stokis Aducktive pernah melakukan jualan sehingga RM3 juta setahun dan mereka juga mampu menjana pendapatan bersih sebanyak RM20,000 sebulan

“Kini kami dapat berkongsi peluang pekerjaan dengan seramai 30 anak muda tempatan di kilang di samping menjana pendapatan dengan ribuan usahawan ejen dan stokis di seluruh Malaysia,” ujarnya terharu.

Selain itu, dia juga amat meniktiberatkan kualiti dan persembahan dengan kerap mengeluarkan produk terbaharu termasuklah menjadikan sesetengah produknya sebagai makanan bermusim untuk membuat pelanggan sentiasa menanti produk keluaran Aducktive. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas