Berita

SME Corp peruntuk dana tambahan RM6 juta untuk usahawan India

- Diterbit 27 September 2024 3:11 PM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya SME Corp Malaysia memperuntukkan dana tambahan RM6 juta khusus untuk perusahaan kecil milikan usahawan India.

Peruntukan tambahan ini akan disalurkan menerusi program sedia ada yang dijenamakan sebagai Business Accelerator Programme for Indian Small Business atau I-BAP.

I-BAP menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan sehingga RM100,000 bagi tujuan meningkatkan kapasiti dan keupayaan serta prestasi perniagaan dan produktiviti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Ini merangkumi perbelanjaan untuk perolehan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kualiti produk serta kecekapan pengeluaran, pensijilan produk, adaptasi ICT dan e-dagang, penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pelaksanaan kempen pemasaran serta promosi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata peruntukan khusus untuk perusahaan kecil milikan usahawan India melalui I-BAP ini adalah bertepatan.

Beliau berkata ini mengambil kira kepentingan mereka dalam turut sama merealisasikan matlamat kerangka ekonomi madani bagi mencapai pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan.

Ramanan berkata demikian selepas lawatan ke Renewcell (M) Sdn Bhd yang merupakan salah satu syarikat penerima bantuan hari ini.

“Kerajaan akan terus memberi sokongan dalam mengupayakan PMKS termasuklah perusahaan kecil milikan usahawan India agar dapat ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini adalah selaras dengan komitmen dan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengutamakan kejayaan dan kemajuan komuniti India selaras gagasan Malaysia Madani,” katanya.

Ramanan turut berkata beliau gembira melihat syarikat seperti Renewcell (M) Sdn Bhd yang dilawati hari ini dapat memanfaatkan bantuan yang diberi dan berjaya mengeluarkan produk baharu mereka.

“Namun demikian, ingin saya ingatkan bahawa perusahaan kecil milikan usahawan India perlu cepat dalam merebut peluang yang ditawarkan menerusi program I-BAP.

“Ini kerana dana adalah terhad dan hanya permohonan yang memenuhi semua syarat kelayakan ditetapkan sahaja boleh dipertimbangkan.

“Bagi perbelanjaan yang tidak dapat dipertimbangkan di bawah I-BAP, PMKS juga mempunyai alternatif pembiayaan lain di bawah SME Corp Malaysia,” katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata bagi tahun 2024 sehingga kini, sejumlah RM24.12 juta geran telah diluluskan kepada 197 syarikat di bawah Business Accelerator Programme (BAP).

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, RM1.07 juta telah diluluskan kepada 12 syarikat milikan India.

“Program BAP sememangnya berupaya memberikan impak yang signifikan kepada PMKS.

“Di samping itu, syarikat juga berjaya mencatatkan peningkatan jualan tahunan sehingga 44.7 peratus dan 30.3 peratus dalam produktiviti,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas