SESI Libat Urus (SLU) Belanjawan 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadi wadah pertemuan terbaik kepada semua pihak berkepentingan dalam mengutarakan nilai tambah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata beliau hadir dalam SLU itu semalam.
Menurutnya, pelbagai pihak berkepentingan hadir dalam SLU yang melibatkan agensi kerajaan, wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta pemimpin-pemimpin komuniti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Penganjuran SLU ini merupakan kesinambungan daripada SLU Belanjawan 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang telah diadakan pada 11 Ogos lalu.
“Ia bertujuan mendapatkan input, idea serta cadangan bagi pelaksanaan Belanjawan 2025 Wilayah Persekutuan agar selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI, ” katanya di Facebook.
Sementara itu Zaliha berkata nilai tambah dalam SLU itu membolehkan perancangan Belanjawan 2025 berjaya dilaksanakan.
Beliau berkata antara perkara yang disentuh dalam SLU itu melibatkan pembangunan keusahawanan dan peniaga kecil serta pembangunan belia
“Turut disentuh isu-isu berkaitan komuniti setempat yang dihadapi oleh warga kota Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Insya-Allah, segala input dan cadangan yang telah dikumpul hasil SLU ini akan menjadi asas kepada perancangan dan pelaksanaan Belanjawan 2025 yang menyeluruh dan inklusif.
“Ini sekali gus memenuhi keperluan penduduk di Wilayah Persekutuan,” katanya. – WILAYAHKU