BIARPUN membariskan 10 muka baharu, skuad tenpin boling Wilayah Persekutuan (WiPers) tetap melaungkan amaran untuk membawa pulang dua pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Jurulatih skuad WiPers, Steven Teng berkata dua emas itu disasarkan menerusi acara trio dan berpasukan lelaki namun mengakui cabaran sengit bakal dihadapi dari Pulau Pinang, Selangor, Johor dan tuan rumah Sarawak.
“Kita akan ambil bahagian dalam kesemua 11 acara dipertandingkan dan 10 muka baharu akan mengambil bahagian. Saya mula melatih mereka selepas Aidilfitri tahun lepas dan banyak hantar mereka menyertai kejohanan domestik untuk dapat pengalaman.
“Sebanyak lima atau enam kejohanan kami sertai selain menjalani latihan di Sunway Megalanes, Petaling Jaya. Saya turut dibantu Alisha Iman Cheong Abdullah sebagai penolong jurulatih,” ujar beliau.
Pasukan lelaki WiPers dibarisi tiga pemain yang beraksi pada edisi 2022 iaitu Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh dan Ahmad Azriq Izamudin manakala Muhd Aiman Farhan Nor Fuzi, Muhd Amin Syimir Safri, Amin Zulkarnain Zulkifli dan Syabil Azam Syamsul Azam akan membuat penampilan sulung mereka di pentas SUKMA.
Sementara itu, pasukan wanita pula membariskan Zara Deliza Mohd Kamarul Azizi, Dhia Irdina Zahra Mohd Hazrin, Balqis Nurdini Mohd Khairul, Ng Ai Shan, Haiffa Hazlan dan Nur Aisyah Abd Rahim.
Edisi ke-21 menyaksikan 11 acara dipertandingkan iaitu perseorangan, berpasangan, trio, berpasukan, Masters, bagi kategori lelaki dan wanita serta berpasangan campuran yang akan berlangsung di Megalanes Emart, Batu Kawa, Kuching.
SUKMA 2024 di Sarawak melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri serta mempertandingkan 37 jenis sukan. – WILAYAHKU