SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara berharap kejayaan bersejarah layak ke Piala Dunia 2025 di Croatia dapat membuka jalan bagi mereka untuk disenaraikan ke dalam program latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).
Ketua pasukan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan berkata kemasukan mereka ke dalam program berkenaan penting bagi membantu skuad kebangsaan menjalani persediaan lebih rapi sebelum berjuang buat julung kali di pentas Piala Dunia tahun depan.
“Kita memang memerlukan sokongan sepenuhnya bukan sahaja daripada MSN, malah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Institut Sukan Negara (ISN) untuk membantu menyediakan program berterusan sehingga ke Piala Dunia termasuk diberi pendedahan dalam lebih banyak perlawanan antarabangsa selepas ini.
“Terdapat juga rancangan untuk menjalani latihan di luar negara seperti Afrika Selatan mahupun di Eropah menjelang Piala Dunia 2025 namun kami perlukan dana, mungkin menerusi peruntukan daripada kerajaan,” ujarnya.
Walaupun berjaya layak ke Piala Dunia, tonggak pertahanan itu mengakui terkilan kerana tidak dapat mempertahankan kejuaraan Piala Asia selepas tumpas kepada Iran 1-7, pada edisi 2024 yang berakhir Sabtu lalu.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berharap anak buahnya dapat menjalani latihan di tempat baharu berbanding sesi dijalankan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul sebelum ini.
“Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah mengenal pasti beberapa tempat di sekitar Lembah Klang untuk dijadikan pusat latihan baharu dengan fasiliti yang lebih lengkap buat skuad kebangsaan.
“Pada masa sama pasukan wajar diberi insentif susulan pencapaian membanggakan meraih slot automatik ke Piala Dunia 2025 yang dijadual berlangsung di Porec dari 3 hingga 9 Februari depan,” ujar beliau.
Pada pusingan pertama Piala Asia 2024, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B membelasah Oman 10-2 Selasa lepas, diikuti seri 3-3 dengan tuan rumah Kazakhstan dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan mengatasi juara Sukan SEA 2023, Indonesia, 5-4 pada Rabu. – WILAYAHKU