Berita

Skuad angkat berat negara cemerlang di Fiji

- Diterbit 18 September 2024 11:41 PM MYT

SKUAD angkat berat negara terus mempamerkan aksi cemerlang untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel 2026 selepas berjaya menggondol lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa di Suva, Fiji.

Menurut Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, kejayaan tersebut merupakan satu permulaan yang baik dan atlet perlu bekerja keras dalam tempoh setahun ini sebelum menjelang Sukan Komanwel 2026.

“Alhamdulillah pasukan angkat berat Malaysia berjaya mencatatkan kejayaan yang cemerlang dalam Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pengurus, jurulatih dan atlet. Ini merupakan permulaan baik bagi langkah besar yang akan mendatang,” ujar beliau.

Pada Selasa lalu, Muhammad Rahimi Sulaiman Lat memenangi pingat emas kategori 55 kilogram (kg) dengan jumlah angkatan 228kg menewaskan dua pencabar dari India, A Maharajan yang membawa pulang perak (217kg) dan Dabulal Hembrom gangsa (202kg).

Seterusnya, jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menebus kekecewaannya di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila berjaya merangkul pingat emas dalam kategori 61kg.

Lebih manis, atlet berusia 22 tahun itu turut melebur rekod kebangsaan selepas menyempurnakan angkatan keseluruhan 298kg mengatasi angkatan 297kg yang dilakukannya di Paris 2024, untuk menduduki tempat keempat.

Pingat perak dimenangi Morea Baru dari Papua New Guinea dengan angkatan keseluruhan 265kg manakala gangsa milik seorang lagi atlet negara, Mohammad Amin Hakimi Mohd Shukry dengan 243kg.

Dalam masa sama, Mohammad Amin Hakimi (61kg – junior), Muhamad Aznil Bidin (67kg – senior) dan Nurul Syasya Khairina (59kg – youth) turut menghadiahkan emas dan Nur Syazwani Radzi (64kg – senior) memperoleh gangsa.

Badang negara, Muhammad Erry Hidayat yang juga merupakan anak kepada legenda angkat berat negara, Hidayat Hamidon turut meraih pingat perak dengan jumlah angkatan keseluruhan 308kg.

Terdahulu, kejohanan yang disertai 210 jaguh angkat berat dari 25 negara itu bermula pada 18 hingga 21 September 2024.

/// HABIS ///

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas