YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa memberi komitmen penuh dalam memperkasa generasi muda di Kuala Lumpur dengan mengadakan pelbagai program pendidikan.
Pengurus Kanan YWP, Datin Ts Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir berkata program pendidikan yang dianjurkan melibatkan seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Baru-baru ini seramai 300 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 76 buah Sekolah Menengah di Labuan telah terpilih bagi menyertai Seminar Kecemerlangan SPM yang diadakan secara percuma.
“Program tersebut telah berlangsung selama empat hari bermula dari 19 hingga 22 Ogos 2024 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak,” katanya.
Berkongsi lanjut, Ida berkata antara objektif penganjuran seminar tersebut adalah untuk meningkatkan kefahaman murid mengenai teknik menjawab soalan SPM dalam subjek-subjek yang mempunyai peratus lulus yang rendah dan wajib lulus seperti Matematik, bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Sejarah.
“Selain itu, ia bagi memberi galakan kepada ibu bapa dalam membantu pelajar mempertingkatkan prestasi dalam bidang akademik, membekalkan bahan rujukan serta tips-tips yang berguna.
“Ia juga boleh digunakan sepanjang tempoh persediaan serta memotivasi pelajar dengan berkongsi kisah kejayaan daripada individu yang telah berjaya dalam bidang akademik,” ujar beliau.
Dalam masa sama, pihak YWP turut menyumbangkan pembukaan akaun simpan SSPN kepada 300 orang pelajar SPM yang menyertai seminar.
“Kos keseluruhan yang diperuntukkan adalah sebanyak RM270,000 merangkumi pelaksanaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan selain kami turut mengalu-alukan sumbangan daripada individu atau syarikat korporat untuk bersama-sama YWP dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga kota serta menoktahkan kemiskinan bandar.
“Sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Kebajikan & Pelajaran YWP di CIMB Bank (8001103675) atas nama Yayasan Wilayah Persekutuan serta catatkan kod ‘Sumbangan Tabung YWP’,” katanya.
Dalam pada itu, YWP turut mengucapkan penghargaan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan khusus untuk seminar di Kuala Lumpur.
Terdahulu, seminar anjuran YWP, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan DBKL ini telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Pengerusi YWP, Dr Zaliha Mustafa.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPWPKL, Abdul Aziz Md Hashim; mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Ahmad Ibnu Sina Termizi dan Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj. – WILAYAHKU