MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diminta memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan terhadap seorang pemandu bas sekolah yang memuat naik video pelajar yang menaiki kenderaan itu di media sosial.
Beliau berkata, SKMM sebagai agensi teknikal juga telah berhubung dengan pihak TikTok bagi melakukan pemeliharaan data untuk memastikan sebarang maklumat diperlukan oleh polis diperoleh segera
“Kandungan yang dihasilkan (oleh pemandu bas) membolehkan komen-komen yang kalau kita teliti agak merisaukan.
“Kita tak tahu berapa banyak akaun lain yang serupa seperti akaun ini dalam TikTok,” katanya pada sidang medianya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Persidangan Perundangan Antarabangsa Berhubung Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sementara itu Fahmi berkata, beliau melihat platform-platform media sosial perlu memberikan kerjasama lebih kepada pihak berkuasa.
“Saya percaya rakyat juga bersama kita dalam memastikan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial,” katanya.
Menurut Fahmi, SKMM juga akan bekerjasama dengan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu mengenal pasti pihak lain yang mungkin terlibat atau disyaki melakukan sebarang pelanggaran undang-undang di negara ini.
Polis hari ini menahan seorang pemandu bas berusia 24 tahun yang memuat naik video dan menyiarkan gambar kanak-kanak dibawanya dalam bas di Simpang Renggam, Kluang.
Polis turut merampas telefon bimbit pemandu bas itu yang dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawainya membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemandu bas sekolah yang memuat naik video pelajar yang menaiki kenderaan itu di media sosial.
Nancy berkata, beliau mengarahkan pegawai dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak membuat laporan polis segera dan menambah kementerian itu sedia bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak IPK Johor.
Dalam satu video milik pemandu bas sekolah yang mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok, lelaki memuat naik satu video yang merujuk seorang pelajar perempuan sebagai ‘crush’ atau kekasihnya.
Pemandu bas itu juga sering merakam video ketika sedang memandu dengan memaparkan dengan jelas wajah pelajar dalam kenderaan itu.
Video-video itu setakat ini sudah mempunyai sebanyak 10.5 juta tanda suka atau ‘like’. – WILAYAHKU