LEBIH 130,000 rawatan kesihatan pesakit luar bagi kes-kes akut telah diberikan melalui klinik-klinik swasta dan sebanyak 80,000 isi rumah telah mendapat manfaat Skim Perubatan Madani (SPM).
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata bilangan rawatan yang diberikan hampir mencecah 4,000 sehari dan semakin meningkat.
“Kini, lebih 1,300 klinik swasta telah mendaftar dan bekerjasama dalam program ini sebagai panel dalam memberikan perkhidmatan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Zaliha menambah, KKM telah menggariskan penguatkuasaan, kawalan dan langkah-langkah untuk melindungi data serta kerahsiaan maklumat pesakit yang dikendalikan secara elektronik.
Menurut beliau, ia sebagai jaminan keselamatan data pesakit yang direkodkan dengan menggunakan pendigitalan rekod perubatan elektronik (EMR) selaras dengan Dasar Keselamatan ICT (2019) dan memenuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Keizinan mengakses data pesakit dihadkan kepada pihak yang berkelayakan sahaja berdasarkan Garis Panduan Pengendalian dan Pengurusan Rekod Perubatan Pesakit di Fasiliti KKM,” katanya.
Jelas beliau, KKM juga telah mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan keselamatan data pesakit dan mengelakkan kebocoran data.
“Antaranya, melaksanakan audit trail bagi mengawal akses terhadap EMR secara berkala bagi memastikan pematuhan terhadap polisi yang ditetapkan dan mengadakan sistem pengesahan dua faktor atau pengesahan multilevel untuk mencapai rekod perubatan.
“Selain itu, mengenkripsi data semasa perpindahan dan penyimpanan data secara elektronik serta pengurusan hak akses yang teratur di mana hak akses hanya diberikan berdasarkan keperluan kerja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zaliha berkata kerajaan sedang menyemak semula gaji, insentif, elaun dan kemudahan anggota perkhidmatan awam termasuk pegawai di sektor kesihatan awam.
“Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) telah membincangkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam pada 7 Ogos lalu, sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam termasuk saraan petugas kesihatan,” katanya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE