JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menerima sejumlah 58 laporan polis berkaitan skim pelaburan mesin layan diri yang dianjurkan sebuah syarikat, setakat ini.
Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kerugian keseluruhan yang dicatatkan berjumlah lebih RM6 juta dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, syarikat tersebut menawarkan beberapa pakej pelaburan dengan keuntungan berbeza mengikut pakej yang disertai.
“Walau bagaimanapun keuntungan yang dijanjikan kemudiannya gagal dibayar.
“Kebanyakan pelaburan tidak mengetahui sama ada mesin layan diri yang didakwa oleh penganjur benar-benar wujud atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Untuk itu jelasnya, adalah diingatkan keputusan menyertai mana-mana skim pelaburan, khususnya pelaburan berkaitan perkongsian perniagaan seperti mesin layan diri, hendaklah dibuat dengan amat berhati-hati.
Katanya, orang ramai perlu melakukan semakan tentang kewujudan mesin yang didakwa selain mengesahkan lokasi mesin tersebut diletakkan.
“Sebaik-baiknya terlibatlah secara langsung dalam perniagaan tersebut dan tidak hanya meletakkan kepercayaan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali.
“Seandainya berlaku kejadian di luar jangka seperti penipuan, individu yang terkesan boleh membuat aduan kepada agensi penguat kuasa berkaitan seperti polis, Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.
Beliau menambah, antara lain individu terkesan boleh memfailkan tuntutan terhadap syarikat penganjur di mahkamah sivil bagi mendapatkan semula kerugian yang dialami.
“Tindakan membuat aduan kepada badan bukan kerajaan (NGO) tidak akan membantu sama ada untuk mendapatkan semula kerugian yang dialami mahupun mempercepat siasatan oleh agensi penguat kuasa,” katanya. – WILAYAHKU