Berita

Skim Bantuan Khas YWP ringan beban warga KL

AZIZAH (tengah) ketika menyampaikan bantuan kepada pelajar
- Diterbit 26 Julai 2024 10:50 AM MYT

BAGI membantu meringankan beban hidup golongan yang memerlukan, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil menyampaikan sumbangan di bawah Skim Bantuan Khas YWP kepada dua penerima terpilih.

Menurut Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj, sumbangan tersebut diberikan secara one-off kepada pemohon yang berjaya.

“Untuk Skim Bantuan Khas YWP, sumbangan adalah berbentuk wang tunai sebanyak RM500 buat setiap pemohon dan kedua-duanya adalah di bawah permohonan perubatan.

“Bagi setiap permohonan, ia mengambil masa antara dua minggu sehingga sebulan untuk proses siasatan, lawatan tapak dan kewangan sebelum bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang layak,” ujarnya.

Abdul Rahman berkata selain parlimen Bandar Tun Razak, bantuan turut disampaikan kepada penduduk lain yang layak di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Semoga dengan bantuan khas yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban hidup pemohon memandangkan ada yang terlantar sakit, tidak boleh bekerja dan sebagainya, diharapkan dengan wang ehsan ini dapat membuka jalan buat penjaga terutamanya dalam membiayai kos perubatan yang ditanggung,” ujarnya.

Terdahulu, bantuan tersebut disampaikan ketika Program Bantuan Barangan Basah Keluarga B40 yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak dan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Turut hadir, Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Dalam masa yang sama, selain Bantuan Khas, pihak YWP turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima bantuan Skim Prihatin YWP (khairat kematian) serta 30 orang pelajar berpendapatan rendah (B40) dan tercicir di bawah bantuan pendidikan.

“Diharapkan dengan bantuan pendidikan ini dapat membantu memudahkan urusan pembelajaran anak-anak B40 dan semoga mereka mampu bersaing dengan baik dengan rakan-rakan yang lain meskipun berhadapan dugaan kehidupan bersama keluarga.

“Anak-anak ini merupakan pemimpin generasi akan datang, jadi adalah penting buat pihak YWP dalam memastikan golongan seperti ini tidak ketinggalan dan terus tercicir daripada pelajaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, YWP yang ditubuhkan pada 9 April 1986 membawa matlamat untuk membantu warga Wilayah Persekutuan yang berpendapatan rendah dan miskin bandar dalam aspek pendidikan, kebajikan dan sosioekonomi.

Selaras objektif tersebut, YWP mengalu-alukan sumbangan wang ringgit untuk warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang amat memerlukan bantuan melalui Tabung Kebajikan & Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan.

YWP telah menyediakan platform atas talian bagi membolehkan penyumbang memberikan sumbangan secara dalam talian dan bantuan tersebut dihantar terus kepada penerima yang dipilih.

Tujuannya adalah untuk memudahkan orang ramai meneruskan amalan mulia meskipun tidak dapat berkumpul bersama para penerima sumbangan. Resit potongan cukai juga akan diberikan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang www.yayasanwp.org atau Facebook @yayasanwilayahpersekutuan. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas