TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan telah menyerahkan Projek Siap Pembangunan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) bagi Penjara Simpang Renggam, Johor dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar yang bernilai RM23.122 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Projek SKEB itu dimulakan pada 4 Mac 2022 dan disiap mengikut masa ditetapkan iaitu pada 21 Oktober lalu setelah pengujian keseluruhan sistem dilaksanakan. Projek dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan Pengarah Kerja Raya Johor sebagai Pegawai Penguasa manakala Electrica Technology Sdn. Bhd selaku kontraktor.
Pelaksanaan teknologi SKEB merupakan inisiatif yang sangat kritikal dalam usaha untuk memperkukuh aspek pengawasan, keselamatan dan tindakan bagi institusi penjara dengan risiko
kes kes lari dan lain-lain yang tidak diingini disasarkan kepada sifar.
Antara skop projek ini ialah pemasangan Closed Circuit Television (CCTV) System yang mempunyai liputan yang lebih luas dan menyeluruh, Electronic Access Control System, IP Security Intercom System, Integrated Security Management System (ISMS) dan kerja-kerja pemasangan elektrik voltan rendah serta kerja-kerja kejuruteraan awam.
Bagi memperkasakan sistem keselamatan Penjara Simpang Renggam yang dikategorikan sebagai Penjara Maksimum, sebanyak 758 CCTV pelbagai jenis seperti dome, bullet, corner mount, panaromic dan pan-tiltzoom (PTZ) telah dipasang, manakala PPA Muar pula dilengkapi 106 CCTV pelbagai jenis.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pasukan pengurus projek ini dapat mengekalkan momentum penyiapan projek lain dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa.
“KKR sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh KDN kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi pelaksana untuk menyiapkan infrastruktur keselamatan negara ini.
“Kami turut menyeru kepada kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) selama setahun bermula tarikh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dimana pihak JKR akan terus memantau proses proses pasca penyerahan projek supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa,” kata Ahmad Maslan. – WILAYAHKU